Apa yang anda ingin cari?


BERKERJASAMA DENGAN RAKAN-RAKAN KONGSI
© Naturepl.com / Juan Carlos Munoz / WWF

Selaras dengan motto “Together Possible”, WWF berusaha untuk bekerja secara bersepadu dengan pihak kerajaan, sektor swasta, perniagaan dan komuniti untuk mencapai penyelesaian pemuliharaan yang berkekalan. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai entiti untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan bagi hasil program yang bercita-cita tinggi ini, yang hanya dapat direalisasikan melalui perkongsian.

JAWATANKUASA PANDUAN PENSIJILAN JURISDIKSI

Berdasarkan pendekatan landskap, sebuah pendekatan jurisdiksi boleh diambil di seluruh negeri Sabah. Ini dapat membantu membina visi bersama dalam kalangan pemegang kepentingan untuk mencapai matlamat kelestarian yang sama, termasuklah pihak kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan komuniti tempatan, serta mewujudkan strategi, dasar dan langkah untuk mencapainya. Untuk melaksanakan pendekatan ini, kami mencadangkan agar sebuah entiti jurisdiksi ditubuhkan, dengan sebuah Lembaga yang terdiri daripada pelbagai pemegang kepentingan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Panduan Pensijilan Jurisdiksi (JCSC). JCSC mempunyai wakil daripada kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil untuk memimpin proses yang akan mencapai 100% pensijilan RSPO untuk pengeluaran minyak sawit di Sabah menjelang tahun 2025.

MENGAPA KAMI BEKERJA DENGAN PERNIAGAAN

Walaupun banyak perniagaan bergantung pada sumber semula jadi dan operasi mereka boleh memberi kesan besar kepada alam sekitar, mereka juga mempunyai peranan penting dalam menyokong usaha pemuliharaan dan menjadi sebahagian daripada usaha penyelesaian.


Dengan ini, WWF menjalin kerjasama dengan Unilever, sebuah syarikat barang pengguna global, untuk menghapuskan penebangan hutan daripada rantaian bekalan minyak sawit. Kerjasama dengan Unilever dimulakan pada bulan Disember 2018 dengan tujuan untuk menyokong pengeluaran minyak sawit lestari, dan meningkatkan ketersambungan antara blok hutan terpencil di landskap Tawau dan Hilir Sugut. WWF dapat bekerja dengan rakan kongsi di lapangan untuk menanam semula koridor ekologi dalam landskap-landskap ini dengan pembiayaan daripada Unilever. Ini akan memulihkan habitat hutan dan meningkatkan ketersambungan antara blok hutan yang terpisah. Sambungan fizikal ini diperlukan untuk membolehkan tumbuhan dan hidupan liar tersebar, mengurangkan pembiakan dalaman dan menyesuaikan diri dengan lebih baik terhadap kesan perubahan iklim. 
Perkongsian terbaru WWF dengan Beiersdorf dan Evonik memberi tumpuan kepada kerja pemuliharaan di landskap Tabin. Dengan mematuhi tiga teras SLP: melindungi, menghasilkan dan memulihkan, usaha kolaboratif ini menyokong perancangan penggunaan tanah yang terintegrasi untuk Tabin bagi perlindungan hutan dan pensijilan minyak sawit RSPO/NDPE di peringkat landskap. Pada masa yang sama, usaha ini juga turut melibatkan perlindungan hidupan liar dan penubuhan koridor ekologi untuk membolehkan migrasi hidupan liar dan ketersambungan habitat.

PRINSIP TERAS KAMI

Pendekatan WWF untuk melibatkan sektor swasta adalah konstruktif dan berorientasikan penyelesaian, dan prinsip panduan teras kami untuk penglibatan korporat adalah ketelusan, hasil yang boleh diukur dan hak bersama untuk tidak bersetuju.

Pemulihan untuk ketersambungan landskap

Kami juga bekerjasama dengan beberapa rakan kunci untuk meningkatkan ketersambungan landskap melalui tanah pertanian dengan memulihkan koridor ekologi dan habitat orangutan yang penting di landskap Hilir Sugut dan Tawau. Di landskap Tawau, Sabah Softwoods Bhd (SSB) telah menubuhkan koridor hidupan liar pelbagai spesies dengan tujuan untuk mengurangkan konflik antara manusia dan gajah serta menggalakkan pergerakan antara habitat. Koridor hidupan liar ini adalah seluas 1,076 hektar dan kira-kira 14 kilometer panjang. Ia menghubungkan dua buah landskap hutan besar iaitu rizab hutan Ulu Kalumpang dan Gunung Louisa. Di Hilir Sugut dan Tabin, koridor pemulihan juga sedang dikenalpasti dan skema penanaman semula sedang dibangunkan. Di landskap Kinabatangan, Borneo Rhino Alliance (BORA) sedang berusaha menanam sumber makanan untuk orangutan di kawasan ladang minyak sawit dan memulihkan habitat orangutan.

Kerjasama dengan Kerajaan

WWF juga akan meneruskan kerjasama jangka panjangnya dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Yayasan Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar serta pelbagai Pejabat Daerah di seluruh negeri untuk membuat penilaian tempatan terhadap pelbagai intervensi untuk menjamin pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti Sabah yang berterusan serta sumber-sumber utama untuk manfaat alam semula jadi dan rakyatnya.

Bekerja dengan Komuniti

Komuniti yang tinggal di landskap-landskap yang disasarkan adalah antara pemegang kepentingan terbesar WWF. Mereka sering dipinggirkan oleh pendekatan pemuliharaan konvensional. Pendekatan landskap pula mempunyai potensi besar untuk memenuhi objektif sosial dan alam sekitar sambil turut menyumbang kepada komitmen alam sekitar negeri dan nasional. WWF akan berusaha untuk berinteraksi dengan komuniti-komuniti di landskap yang dikenal pasti, bukan sahaja untuk berkongsi langkah intervensi yang dicadangkan di sana, tetapi juga untuk menerima input dan maklum balas daripada mereka yang berada di lapangan. Sebarang aduan boleh disalurkan melalui contactslp@wwf.org.my

Untuk maklumat lanjut mengenai komitmen kami terhadap ketelusan dan polisi sosial kami, klik di sini..