Apa yang anda ingin cari?


LANDSKAP
© Naturepl.com / Juan Carlos Munoz / WWF

MENCARI PENYELESAIAN

Program Landskap Sabah telah mengenal pasti tiga buah landskap penting di Sabah untuk memberikan pendekatan yang lebih meluas dengan tujuan untuk melindungi, menghasilkan, dan memulihkan di Tawau, Tabin dan Hilir Sugut.

Landskap ditakrifkan sebagai sistem sosio-ekologi yang terdiri daripada ekosistem semula jadi dan/atau yang diubahsuai oleh manusia, dan yang dipengaruhi oleh proses dan aktiviti ekologi, sejarah, ekonomi dan sosio-budaya yang jelas. Dengan menggunakan kriteria ini, WWF-Malaysia telah mengenal pasti tiga buah landskap utama di dalam Sabah untuk melaksanakan pendekatan tiga teras (Lindungi, Hasilkan dan Pulihkan) nya. Landskap yang dikenalpasti ini adalah Tawau, Tabin dan Hilir Sugut. Selain itu, usaha pemuliharaan juga akan dilaksanakan pada skala yang lebih kecil untuk tiga landskap lain - Kalabakan, Hutan Tengah dan Ulu-Padas Nabawan.

LANDSKAP TAWAU

Landskap Tawau terdiri daripada 405,923 ha tanah. Di tengah-tengah landskap ini adalah Taman Bukit Tawau dan bersebelahan dengannya ialah Rizab Hutan Ulu Kalumpang. Taman Bukit Tawau dan Rizab Hutan Ulu Kalumpang adalah tempat tinggal pelbagai spesies yang terancam dan terdedah: gajah, orangutan, burung enggang, harimau dahan, banteng dan pelbagai spesies primat lain serta avifauna yang kaya. Pokok tertinggi di dunia, dengan ketinggian rekod 96.9 m (Shorea faguetiana) juga ditemui di kawasan ini. Blok hutan tunggal ini adalah sebahagian penting daripada kawasan HCV/HCS di seluruh negeri, dan kawasan tadahan air adalah penting kepada pekan-pekan tempatan yang sudahpun mengalami masalah kekurangan bekalan air.

LANDSKAP TABIN

Rizab Hidupan Liar Tabin (123,779 ha) ditubuhkan pada tahun 1984 dengan tambahan kawasan yang dimasukkan sebagai sebahagian daripada rizab. Rizab yang besar ini dikelilingi oleh ladang kelapa sawit, dengan Rizab Hutan Silabukan (10,600 ha) kira-kira 5km ke selatan, dan Santuari Hidupan Liar Kulamba (20,682 ha) di seberang Sungai Segama ke utara. Tinjauan hidupan liar baru-baru ini telah mengesahkan bahawa Tabin amatlah penting dalam usaha pemuliharaan. Ia menempatkan populasi orangutan Borneo terbesar di dataran rendah timur, iaitu sebanyak kira-kira 1,200 individu. Ia juga merupakan rumah kepada spesies endemik lain di Borneo seperti gajah Borneo (kira-kira 350 individu), banteng Borneo (< 50 haiwan), dan harimau dahan Sunda (<40 haiwan).

LANDSKAP HILIR SUGUT

Landskap Hilir Sugut (217,046 hektar) terletak di timur laut Sabah. Puncak Sungai Sugut berasal dari kaki Gunung Kinabalu. Ia mengalir ke timur untuk bertemu dengan dataran aluvium yang luas dan kemudian mengalir ke Laut Sulu. Sebahagian besar daripada bahagian atas Lembangan Sungai Sugut didominasi oleh kawasan penempatan dan tanah pertanian yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Ramai penduduk ini menyara hidup dengan mengerjakan ladang kelapa sawit berskala kecil (pekebun kecil), getah, pokok buah-buahan dan memancing. Kawasan Hilir Sugut didominasi oleh Rizab Hutan Kelas 1 dan ladang kelapa sawit yang besar. Berdasarkan tinjauan sarang orangutan WWF-Malaysia, populasi orangutan yang besar di landskap ini telah direkodkan di Rizab Hutan Trusan Sugut dan Rizab Hutan Lingkabau. Selain orangutan Borneo, Hilir Sugut juga menjadi habitat kepada banteng Borneo serta kera bekantan di kawasan sungai dan paya bakau.

Bagaimanakah Pelan Spatial Landskap membantu memelihara sumber semula jadi kita dan mengurangkan konflik penggunaan tanah?