Apa yang anda ingin cari?

HARIMAU MALAYA
© WWF-Malaysia/ Shariff Mohamad

Harimau mempunyai nilai kebudayaan yang tinggi di peringkat global, nasional, dan tempatan serta kepada pelbagai kumpulan etnik. Banyak masyarakat asli tinggal di habitat harimau dan pemeliharaan harimau juga dapat memelihara budaya tradisional. Sesuai dengan namanya, harimau Malaya adalah simbol keberanian dan kekuatan yang ditunjukkan dalam lambang Polis Diraja Malaysia, pasukan bola sepak negara kita, dan yang lebih penting sekali, Jata Negara kita.

Harimau Malaya adalah subspesies terkecil di rantau Asia Tenggara. Makhluk megah ini amat mahir berenang dan sangat menyukai air, dan telah direkodkan wujud di kawasan setinggi 2,000 meter di atas paras laut. Diet utamanya terdiri daripada mangsa yang lebih kecil, terutamanya  rusa sambar.

Harimau adalah haiwan teritorial yang memerlukan kawasan hutan yang luas untuk berkeliaran. Dianggarkan, kawasan berkeliaran bagi harimau jantan adalah 300 km persegi dan 100 km persegi bagi harimau betina. Secara amnya, kawasan berkeliaran seekor harimau jantan bertindih dengan tiga ekor harimau betina. Kebiasaannya, haiwan ini hidup secara bersendirian, kecuali ketika ia sedang mengawan atau ketika ibu-ibu sedang membesarkan anak-anak. Anak harimau akan tinggal bersama ibunya sehingga berusia dua tahun. Selepas itu, ia akan hidup sendiri.